Tahun 2008 semakin jelas merupakan tahun comeback bagi artis rock terkemuka negara. Pada awal tahun, XPDC telah mengisytiharkan penyatuan semula mereka dengan keluaran album koleksi terbaik ‘Rock Union’, dan sudah diketahui ura-ura terbaru bahawa kumpulan Candy juga sedang sibuk di dalam studio membikin album baru.

Sempena hari Valentine’s ini, yang terkini pula adalah band genius kesayangan ramai: Butterfingers. Sebagai perintis ‘alternatif’ di zaman Nirvana dahulu, evolusi Butterfingers telahpun membawa mereka dari sebuah band berdarah muda mirip kumpulan gergasi Amerika era 90-an ke sebuah unit pemuzik matang, berwawasan dan bersemangat nasionalisme.

Tanggal tahun baru ini, Emmett, Loque, Kadak dan Loco bertungkus lumus bersatu mengusahakan album baru mereka berjudul ‘Kembali’, sempena kepulangan sementara Loque yang menuntut di institusi pendidikan seni muzik termasyhur dunia, Berklee College of Music di Boston, Amerika.

Menurut Loque, Butterfingers kini positif untuk melangkah ke masa depan muzikal yang lebih cerah.

“Segala kesilapan semasa era album ‘Selamat Tinggal Dunia’ dahulu tak akan diulangi lagi,” kata gitaris utama dan pencipta lagu itu tentang kegagalan komersil album bahasa Malaysia pertama mereka pada tahun 2005.

Video muzik bagi lagu “1000 Tahun (Mahu Hidup)”, yang pertama Butterfingers sejak keluaran klip “Cuai” dan “Nyilu (Hidup Makan Tidur Mati Muzik)” tiga tahun lepas, boleh ditonton di YouTube bermula hari ini. Single ini akan diikuti oleh keluaran single kedua, “Terus Terang”, di bulan hadapan. Single ketiga “Merdeka” ataupun “Bebas”, akan dikeluarkan selang satu atau dua bulan berikutan itu dan single keempat akan muncul pada 1 Jun sebelum rilisan album penuh ‘Kembali’.

Menurut Emmett pula selaku vokalis utama, muzik Butterfingers kali ini jauh lebih mudah didengar berbanding muzik mereka yang lepas.

“Kami telah memudahkan Butterfingers,” ujarnya ringkas. “Dari segi lagu – konsep keseluruhan ‘Kembali’ adalah ‘lagu rakyat, daripada rakyat untuk rakyat’.”

“Album baru (ini) adalah satu kesinambungan daripada apa yang kita dah buat selama ini,” tambah Kadak (gitar bass) pula.

Tarikh keramat bagi pencinta Butterfingers pula adalah 6 Julai, apabila album ‘Kembali’ akan dikeluarkan kelak.

‘Kembali’, album studio keenam mereka menandakan tamatnya kontrak Butterfingers dengan syarikat rakaman EMI yang menampung dan mengedarkan karya mereka sejak album pertama ‘1.2 Mg’ pada tahun 1996.

Rakaman bahasa ibunda yang kedua dari mereka ini dijual dengan harga hanya RM15, serumpun dengan status baru Butterfingers sebagai kumpulan ‘indie’.

Bagi peminat setia kumpulan rock moden tanahair yang terkemuka ini, ikuti temuramah-temuramah bersama Butterfingers serta berita ekslusif dalam tempoh terdekat ini di gua.com.my!

*Untuk menonton video muzik bagi “1000 Tahun (Mahu Hidup)”, cari ‘butterfingerstheband’ di youtube.com ataupun layari myspace.com/butterlatethannever.


 

--